Logo MyGov*Net

Pengenalan

Apa itu MyGov*Net?

MyGov*Net merupakan Rangkaian Telekomunikasi Bersepadu Kerajaan (Government Integrated Telecommunications Network) yang diuruskan secara terpusat oleh Jabatan Digital Negara (JDN). Infrastruktur rangkaian yang selamat ini disediakan bagi menyokong sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan Digital, sama ada aplikasi dalaman Kerajaan atau capaian ke Internet. Perkhidmatan MyGov*Net adalah khusus untuk pengguna Kerajaan di Kementerian, Jabatan, Agensi Kerajaan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan di bawah saraan Kementerian.

Latar Belakang

Rangkaian Telekomunikasi Bersepadu Kerajaan

Rangkaian telekomunikasi bersepadu Kerajaan yang dikenali sebagai EG*Net telah diperkenalkan pada tahun 1995. Menerusi keputusan Jemaah Menteri pada 11 Oktober 1995, pelaksanaannya dilakukan secara penswastaan.

Pada tahun 1999 semasa peringkat awal pelaksanaanya, EG*Net hanya menyediakan perkhidmatan rangkaian bagi menyokong Aplikasi Perdana Kerajaan Elektronik. Aplikasi tersebut adalah seperti berikut:

  • Perolehan Elektronik (eP)
  • Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS)
  • Sistem Pemantauan Projek (SPP II)
  • Bursa Buruh Elektronik (Jobs Malaysia)
  • e-Syariah
  • e-Khidmat atau e-Services
  • e-Kehakiman atau e-Court
  • Sistem Perancangan dan Kawalan Belanjawan Elektronik (eSPKB) dan Integrasi Projek Kerajaan Elektronik dengan Jabatan Akauntan Negara (EG-AG)
  • Sistem Pengurusan Tanah (e-Tanah)

Peluasan EG*Net kepada Perkhidmatan Rangkaian Telekomunikasi Bersepadu Kerajaan (1Gov*Net)

Dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10), Kerajaan meneruskan inisiatif memperkukuh infrastruktur ICT dengan mewujudkan perkhidmatan guna sama untuk sektor awam; iaitu menyediakan perkhidmatan ICT secara bersepadu dan guna sama (shared and consolidated services) dan ditadbir urus secara berpusat (centralized). Langkah ini adalah bertujuan untuk mengoptimumkan sumber kewangan dan juga manusia.

Pendekatan ini juga telah terbukti dapat meningkatkan kecekapan pengurusan perkhidmatan, keselamatan siber dan penyeragaman tahap perkhidmatan. Berdasarkan faktor-faktor ini, Kerajaan telah bersetuju memperluaskan perkhidmatan rangkaian ICT bersepadu sektor awam secara lebih menyeluruh meliputi perkhidmatan Internet, intranet dan EG*Net, yang dikenali sebagai 1Gov*Net.

Pada 29 Februari 2012, Jemaah Menteri telah bersetuju cadangan penswastaan 1Gov*Net melalui kaedah Build-Operate-Own (BOO) secara rundingan terus dengan syarikat GITN Sdn. Berhad (GSB). 1Gov*Net dijenamakan semula pada Mei 2018 dan dikenali sebagai MyGov*Net.

Kesinambungan Perkhidmatan MyGov*Net

Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 22 Julai 2022 dan 21 Disember 2022 telah meluluskan pelaksanaan perkhidmatan MyGov*Net 2.0 untuk tempoh sepuluh tahun bermula 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2032 secara rundingan terus dengan penambahbaikan ke atas skop perkhidmatan sedia ada. Perkhidmatan ini menyediakan platform rangkaian yang selamat dan khusus untuk menyokong sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan.

Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025

Kerajaan Digital Mampan Pemangkin Masyarakat Digital merupakan visi pendigitalan sektor awam untuk menyokong Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MYDIGITAL) dan Sustainable Development Goals 2030. PSPSA 2021-2025 ini memberi fokus kepada kelangsungan Kerajaan Digital mampan melalui sistem penyampaian perkhidmatan yang inklusif dan bersepadu kepada semua golongan masyarakat daripada pelbagai kumpulan sasar di pelbagai geolokasi berasaskan konsep tiada yang terpinggir (leaving no one behind) meliputi golongan rentan.

Tujuh teras strategik adalah tonggak kepada kelangsungan pelaksanaan Kerajaan Digital. Teras Kelima iaitu Pengoptimuman Nilai Perkhidmatan Guna Sama Yang Selamat adalah bertujuan seperti berikut:

  • Memantapkan perkhidmatan guna sama ICT dengan nilai tambah penggunaan teknologi terkini yang relevan
  • Memastikan penawaran perkhidmatan guna sama ICT yang selamat dan mampan

Pendekatan tersebut dilaksanakan dengan strategi Pemantapan Keupayaan Rangkaian dan Komunikasi Digital yang merangkumi perkara berikut:

  • Memantapkan polisi penggunaan perkhidmatan MyGov*Net
  • Mengkonsolidasikan perkhidmatan rangkaian agensi sektor awam
  • Melaksanakan kajian impak dan kajian keperluan perkhidmatan MyGov*Net
  • Melaksana dan menaik taraf perkhidmatan MyGov*Net

Visi & Misi

Visi

Rangkaian telekomunikasi yang bersepadu dan selamat khusus untuk sektor awam.

Misi

Untuk menerajui transformasi infrastruktur rangkaian sektor awam.

Objektif

Menyediakan perkhidmatan MyGov*Net yang bersepadu, selamat dan khusus serta diuruskan secara berpusat bagi Kementerian, Jabatan atau Agensi Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan di bawah saraan Kementerian dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menyokong pelaksanaan One Stop Centre (OSC) 3.0 Plus Online.

Menyediakan perkhidmatan MyGov*Net yang selamat dan berdedikasi untuk menyokong sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan.

Menyediakan satu infrastruktur rangkaian bersepadu ke Internet, Intranet, PDSA dan aplikasi gunasama Kerajaan.

Tadbir Urus MyGov*Net

Pengguna Perkhidmatan MyGov*Net

Perkhidmatan MyGov*Net dibekalkan kepada agensi Kerajaan berikut:

01


Agensi Kerajaan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan di bawah saraan Kementerian.

02


Agensi Kerajaan Persekutuan yang beroperasi di premis swasta.

03


Agensi Kerajaan di bawah Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan yang menggunakan aplikasi Kerajaan Persekutuan yang tidak boleh dicapai menerusi Internet.

Perlukan bantuan? Hubungi khidmat sokongan kami.

Khidmat Sokongan